Wednesday, February 19, 2014

Rezeki

MANUSIA sering bimbang mengenai rezekinya -- apakah ada atau tidak cukup? Tetapi apakah itu rezeki ?

Adakah harta atau wang ringgit itu rezeki ? 

Menurut Islam, Allah swt berkehendakkan kita supaya bercakap benar dan jangan melakukan yang batil. Buatlah apa yang diredai Allah dan ketahuilah bahawa rezeki kita berada di tangan-Nya. Tidak seorang pun yang boleh mengambil atau menyekat rezeki kita.

Sesungguhnya rezeki itu tidak berperanan pada harta, darjat, keturunan atau pangkat saja, malah ia memainkan peranan mendapatkan keredaan Allah dari segi percakapan dan amalan. 

Di sinilah kita dapat memahami maksud firman Allah yang berikut, yang bermaksud: 

"Dan jadilah orang-orang (yang sebelumnya) itu mencita-citakan kedudukan Qarun itu berkata: Aduhai, benarlah Allah telah melapangkan rezeki bagi sesiapa yang Dia kehendaki dari hamba-hamba-Nya dan menyempitkannya. Kalau Allah tidak melimpahkan kurnia-Nya atas kita, benar-benar Dia telah membenamkan kita (pula). Aduhai, benarlah! Tidak beruntung orang-orang yang mengingkari (ni'mat Allah)."
(Surah Al-Qasas: 82)
Allah telah mengurniakan orang-orang yang bermaksiat terhadap-Nya dengan harta yang banyak atau darjat keduniaan yang tinggi.
Jika ditinjau dari segi zahirnya, ini adalah satu kebaikan bagi mereka. Namun yang sebenarnya adalah khilaf. Harta dan pangkat ada kalanya tidak mendatangkan kebaikan.
Allah berfirman yang bermaksud:
"Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya akan dibukakan jalan keluar baginya (dari sebarang masalah) dan akan dikurniakan rezeki dari sumber-sumber yang tidak diduga."
(Surah At-Talaaq: 2 & 3)
Bertakwa kepada Allah dan mengetahui akan sebab-sebab rahmat-Nya adalah rezeki yang sebenarnya. Oleh yang demikian, Rasulullah saw tidak mengibaratkan kerana banyak harta itu adalah kaya, akan tetapi kesucian itu adalah diiktibarkan kaya yang sebenarnya.  

ALLAH berfirman yang bermaksud: 

“Sekiranya kamu mensyukuri nikmat yang ada, nescaya Aku (Allah) menambah nikmat bagimu.”  

No comments: